Followers

Pages

Khamis, 11 Februari 2010

Risalah buat teman ( episod 1)- KAMPUNG



“Argh,,boringnya. Mana Afif nie?”, rungut Adie yang sedang menunggu sahabat karibnya itu walaupun baru 5 minit menunggu. Afif merupakan sahabat Adie sejak tadika lagi. Mereka ibarat adik-beradik yang saling mengenali antara satu sama lain walaupun usia semuda mereka masih belum mengenal erti sebenar persahabatan.

Adie merupakan anak bongsu daripada sebuah keluarga petani yang hidup agak sederhana di tengah-tengan bendang. Dua orang kakaknya sudahpun mendirikan rumah tangga dan tinggal agak jauh dari rumah kedua orang tuanya.

Ibu bapa Adie sangat tabah dalam mencari rezeki. Walaupun usia mereka sudah menjangkau lewat 50-an, namun semangat mereka untuk mencari rezeki dan membesarkan Adie tetap tidak pernah luntur.

Pernah suatu ketika dulu musim panas melanda seluruh negara menyebabkan semua tanaman tidak menjadi. Ayahnya terpaksa mencari hasil hutan seperti daun palas, rebung, rotan dan sebagainya untuk dijual di pasar tani. Hasilnya cukuplah untuk menyara hidup mereka sekeluarga sepanjang tempoh musim panas itu.

Angin timur meniup lembut membelai rambut Adie yang agak panjang hingga ke tengkuk. Padi-padi yang masak menguning seperti syurga emas yang tidak diusik menanti masa untuk dituai. Burung-burung pula terbang bebas kesana kemari sambil bermain-main seolah mengejek Adie yang sedang menunggu sahabatnya itu.

“Kalau janji memang tak pernahnya betul!” dengus Adie lagi. “Baik aku tidur kalau macam nie. Buat penat aku ja.” Selepas beberapa langkah kaki Adie memasuki rumah kedengaran bunyi desiran motorsikal yang amat dikenalinya itu.
Sememangnya itulah satu-satunya motor yang menjadi alat penggerak utama mereka untuk kesana kemari melihat ketenangan dan kedamaian kampung yang merupakan tempat kelahiran mereka. Motorsikal Honda GBO itu merupakan kepunyaan ayah Afif untuk pergi melihat bendang yang perlu dilihat dan dijaga dengan betul sebelum dituai.

Ayah Afif merupakan seorang guru kanan Sekolah Kebangsaan Guar Jentik yang terletak 10 km dari rumahnya. Walaupun seorang guru, niatnya untuk berbakti kepada tanah pusaka tetap terpahat di hati. “Allah sayang kat orang yang buat baik kat tanah nie”, kata-kata ayah Afif yang pernah dilafazkan kepada Adie tidak lama dulu. Ayah Afif merupakan seorang yang alim dan sentiasa berjemaah di surau.

Adie keluar dengan muka masam seperti mengaharapkan sahabatnya itu meminta maaf daripadanya segera. “ Sorry la Adie. Tadi ayah aku guna motor nie. Dia keluar pergi tengok padi kat kampung seberang.” Seakan memahami kehendak sebenar sahabatnya itu walaupun tidak dicurahkan.

Adie diam tidak berkata apa-apa dan terus memakai selipar menuju kearah sahabatnya itu. “ Aku tunggu lama hang tau dak. Pasal hang biar aku tunggu lama hari nie, jom pi jalan-jalan kat kampung seberang”. Kata adie melalui longat pekat utaranya dengan senyuman sinis. “Baik bos!”, balas Afif yang tidak mahu hati sahabatnya itu kecewa.

Motorsikal yang mereka naiki itu memecut laju merentasi jalan kampung yang diturap dengan tar sejak dua tahun yang lalu. Jalan itu sememangnya menjadi tajuk perbahasan yang hangat antara penduduk kampung dengan jawatan kuasa kampung sebelum diturap.

“Kami nak jalan tu ditar”, kata seorang penduduk kampung dalam mesyuarat Agung kampung itu. “Jalan tu memang kita nak letakkan tar tapi peruntukan masih belum dikeluarkan lagi.”Itulah antara alassan yang selalu diberikan tetapi atas desakan orang ramai maka barulah jalan itu diturap.

Ramai pelajar sekolah menggunakan jalan itu untuk ke sekolah. Jalan itu penuh dengan semah samun yang tidak ditebas. Bukan tidak ada jalan lain tetapi itulah satu-satunya jalan shortcut bagi pelajar untuk ke sekolah.
Pernah suatu ketika dulu Adie terserempak dengan tedung selar yang merupakan raja bagi reptilian jenis itu. Tetapi nasib baiklah Adie sempat membrek basikalnya untuk memberi laluan kepada reptilian itu melintas.

Sekarang, jalan itu turut memberi kemudahan kepada para petani untuk pergi melihat bendang. Selepas diturap, barulah bertambah keyakinan ibu bapa untuk membiarkan anak pergi dan balik sekolah.

“Ayah aku kata borang sekolah agama dah keluaq. Dia suruh kita pi ambil besok.”, kata Afif yang sedang membawa motorsikalnya itu tanpa menoleh ke belakang. Tersentak Adie yang sedang leka menikmati keindahan kampung itu. “Jom la. Aku ikut ja”. Sebenarnya Adie dan Afif merupakan pelajar lepasan UPSR yang suka hidup berdikari. Keputusan peperiksaan mereka agak baik iaitu masing-masing 4A 1B dan 3A 2B.

Mereka lebih suka melakukan sesuatu kerja tanpa melibatkan ibu bapa mereka. Pernah suatu ketika dahulu sewaktu Adie berada di Darjah 4, dia sudah berani keluar ke bandar bersama seorang kawan tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Pulang sahaja dari bandar tersebut, ibunya menunggu di serambi rumah kayu yang agak usang di telan zaman itu dengan muka yang agak suram. Tiba-tiba sahaja ibunya itu menangis dan berkata, “Adie pi mana tak bagitau mak?”.

Adie dengan perasaan serba salah meminta maaf daripada emaknya dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya itu. Adie seorang anak yang taat dan setia. Dia tidak boleh melihat air mata ibunya mengalir keluar walaupun setitis. Baginya setitis air mata ibu ialah satu dosa besar yang sukar untuk dipadamkan.

“Tidak akan cium bau syurga seseorang itu jika berkata uhm kepada ibubapanya”, kata seorang ustaz yang pernah memberi ceramah di surau kampung itu.

Sebenarnya Adie memang suka keluar berjalan-jalan di bandar bersama-sama kawan. Dia tidaklah mengharapkan sangat borang sekolah agama yang hendak dipohonnya itu. Borang itu hanyalah sebagai medium untuk dia melepaskan diri untuk keluar bersama Afif ke bandar.