Followers

Pages

Isnin, 13 April 2015

Isu Frasa Adverba Dalam Nahu Melayu Mutakhir (NMM)

Menurut Asmah Haji Omar (1993:315), frasa adverba bermaksud frasa yang berfungsi pada ajung ayat. Frasa adverba telah dibahagikan kepada dua iaitu endosentrik dan eksosentrik (Asmah Haji Omar, 1993). Frasa adverba endosentrik terdiri daripada satu kata adverba atau rentetan kata adverba (Asmah Haji Omar, 1993). Frasa adverba eksosentrik pula boleh terdiri dari frasa preposisi[1], frasa benda[2] atau frasa sifat[3] (Asmah Haji Omar, 1993:315).
Nik Safiah Karim et. al (2002) pula berpendapat bahawa istilah “keterangan” lebih sesuai digunakan kerana keterangan ini dapat menerangkan empat struktur frasa predikat utama dalam bahasa Melayu iaitu kata kerja, kata adjektif, kata sendi nama atau kata nama.  Walaubagaimanapun, Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2013) tidak menerangkan adverba sebagai frasa sebaliknya mengelaskan kata adverba di bawah kata tugas. Kata adverba tidak dianggap sebagai golongan kata utama, bahkan golongan kata tugas, kerana tidak boleh menjadi unsur inti kepada konstituen frasa predikat, seperti halnya dengan kata nama, kata kerja, dan kata adjektif (Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, 2013:289). Oleh itu, Nik safiah Karim et. al (2013) telah menggolongkan kata adverba kepada empat bentuk, iaitu kata adverba jati, kata adverba yang asalnya kata adjektif, kata adverba yang asalnya kata kerja dan kata adverba bentuk gandaan. Jadi, berdasarkan pembacaan dan kefahaman penulis mengenai frasa adverba di dalam Nahu Melayu Mutakhir (1993), wajarkah adverba diterima sebagai frasa dalam ayat bahasa Melayu?
Menurut Nik Safiah Karim et.al (2013:435), frasa ialah unit yang boleh terdiri daripada satu susunan yang mengandungi sekurang-kurangnya dua perkataan, ataupun satu perkataan yang berpotensi untuk diperluas menjadi dua perkataan atau lebih. Maksudnya, frasa merupakan binaan daripada satu perkataan yang berpotensi untuk menjadi unit yang mengandungi dua perkataan atau lebih (Nik Safiah Karim et. al, 2013). 
Menurut Nik Safiah Karim et. al (2013:473) lagi, frasa kerja yang mengandungi kedua-dua jenis kata kerja, transitif dan tak transitif, boleh menerima frasa keterangan. Frasa keterangan ialah unsur yang menerangkan kata kerja secara lebih lanjut lagi. Contohnya seperti dalam ayat di (a):

a.       Kanak-kanak itu dibawa ke hospital.
(Dipetik dari Utusan Online)

                Dalam ayat di (a), unsur yang dicetak condong ialah unsur keterangan yang terbentuk daripada frasa sendi nama. Nik Safiah Karim et. al menyatakan bahawa unsur keterangan tersebut sebagai frasa keterangan dan tidak disebut sebagai frasa adverba di dalam Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (2013:473). Frasa sendi nama (FSN) ke hospital dalam ayat (a) tergolong dalam kata adverba arah. (Dalam Nahu Melayu Mutakhir (1993), terdapat 29 golongan kata adverba). Adverba arah boleh diwujudkan sebagai kata nama tempat apabila mengikut kata kerja dibawa (Asmah Haji Omar, 1993). Jadi, berdasarkan contoh yang diberikan, frasa adverba masih realeven dalam bahasa Melayu. Perkara utama yang menjadi isu ialah penggunaan istilah “adverba” yang diistilahkan sebagai “keterangan” oleh Nik Safiah Karim (2002).
Walaubagaimanapun, kita perlu sedar bahawa binaan ayat dasar dalam bahasa Melayu terdiri daripada dua konstituen utama, iaitu subjek dan predikat (Nik Safiah Karim et. al, 2013). Unsur-unsur yang membentuk dua konstituen utama ayat-ayat dasar bahasa Melayu seperti 4 pola berikut iaitu FN+FN, FN+FK, FN+FA dan FN+FS. Tidak disebutkan frasa adverba di dalam pola tersebut sebagai konstituen yang boleh membentuk ayat dasar bahasa Melayu.

Kata adverba tidak dianggap sebagai golongan kata utama bahasa Melayu kerana tidak boleh menjadi unsur inti kepada konstituen frasa predikat. Kata ini hanya berfungsi sebagai keterangan. Oleh hal yang demikian, tidak wujud frasa adverba (F Adv) sebagai frasa utama binaan ayat bahasa Melayu. Frasa utama yang ada hanyalah FN, FK, FA dan FSN, dan semua frasa ini dapat menjadi unsur inti kepada konstituen frasa predikat.




[1] Frasa preposisi ialah frasa yang unsur pemulaannya ialah kata depan atau preposisi, dalam struktur preposisi + x, dengan syarat x boleh mewakili mana-mana golongan kata atau subgolongannya (Asmah Haji Omar, 1993:311).
[2] Frasa benda ialah kata, frasa atau klausa yang menganggotai golongan benda (Asmah Haji Omar, 1993:355). Frasa benda boleh mewakili kata, frasa atau klausa nama, kata atau frasa bilangan dan kata ganti nama (Asmah Haji Omar, 1993:355). 
[3] Frasa sifat ialah frasa yang intinya merupakan kata sifat (Asmah Haji Omar, 1993:298).