Menurut Asmah Haji Omar (1993:315),
frasa adverba bermaksud frasa yang berfungsi pada ajung ayat. Frasa adverba
telah dibahagikan kepada dua iaitu endosentrik dan eksosentrik (Asmah Haji
Omar, 1993). Frasa adverba endosentrik terdiri daripada satu kata adverba atau
rentetan kata adverba (Asmah Haji Omar, 1993). Frasa adverba eksosentrik pula boleh
terdiri dari frasa preposisi[1],
frasa benda[2]
atau frasa sifat[3]
(Asmah Haji Omar, 1993:315).
Nik Safiah Karim et. al (2002) pula
berpendapat bahawa istilah “keterangan” lebih sesuai digunakan kerana
keterangan ini dapat menerangkan empat struktur frasa predikat utama dalam
bahasa Melayu iaitu kata kerja, kata adjektif, kata sendi nama atau kata nama. Walaubagaimanapun, Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2013) tidak menerangkan adverba
sebagai frasa sebaliknya mengelaskan kata adverba di bawah kata tugas. Kata adverba
tidak dianggap sebagai golongan kata utama, bahkan golongan kata tugas, kerana
tidak boleh menjadi unsur inti kepada konstituen frasa predikat, seperti halnya
dengan kata nama, kata kerja, dan kata adjektif (Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, 2013:289). Oleh itu, Nik safiah
Karim et. al (2013) telah menggolongkan kata adverba kepada empat bentuk, iaitu
kata adverba jati, kata adverba yang asalnya kata adjektif, kata adverba yang
asalnya kata kerja dan kata adverba bentuk gandaan. Jadi, berdasarkan pembacaan
dan kefahaman penulis mengenai frasa adverba di dalam Nahu Melayu Mutakhir (1993), wajarkah
adverba diterima sebagai frasa dalam ayat bahasa Melayu?
Menurut Nik Safiah Karim et.al
(2013:435), frasa ialah unit yang boleh terdiri daripada satu susunan yang
mengandungi sekurang-kurangnya dua perkataan, ataupun satu perkataan yang
berpotensi untuk diperluas menjadi dua perkataan atau lebih. Maksudnya, frasa
merupakan binaan daripada satu perkataan yang berpotensi untuk menjadi unit
yang mengandungi dua perkataan atau lebih (Nik Safiah Karim et. al, 2013).
Menurut Nik Safiah Karim et. al
(2013:473) lagi, frasa kerja yang mengandungi kedua-dua jenis kata kerja,
transitif dan tak transitif, boleh menerima frasa keterangan. Frasa keterangan
ialah unsur yang menerangkan kata kerja secara lebih lanjut lagi. Contohnya
seperti dalam ayat di (a):
a. Kanak-kanak
itu dibawa ke hospital.
(Dipetik dari Utusan Online)
Dalam ayat di (a), unsur yang
dicetak condong ialah unsur keterangan yang terbentuk daripada frasa sendi
nama. Nik Safiah Karim et. al menyatakan bahawa unsur keterangan tersebut
sebagai frasa keterangan dan tidak disebut sebagai frasa adverba di dalam Tatabahasa Dewan Edisi Baharu
(2013:473). Frasa sendi nama (FSN) ke
hospital dalam ayat (a) tergolong dalam kata adverba arah. (Dalam Nahu
Melayu Mutakhir (1993), terdapat 29 golongan kata adverba). Adverba arah boleh
diwujudkan sebagai kata nama tempat apabila mengikut kata kerja dibawa (Asmah Haji Omar, 1993). Jadi, berdasarkan contoh yang
diberikan, frasa adverba masih realeven dalam bahasa Melayu. Perkara utama yang
menjadi isu ialah penggunaan istilah “adverba” yang diistilahkan sebagai
“keterangan” oleh Nik Safiah Karim (2002).
Walaubagaimanapun, kita perlu sedar
bahawa binaan ayat dasar dalam bahasa Melayu terdiri daripada dua konstituen
utama, iaitu subjek dan predikat (Nik Safiah Karim et. al, 2013). Unsur-unsur
yang membentuk dua konstituen utama ayat-ayat dasar bahasa Melayu seperti 4
pola berikut iaitu FN+FN, FN+FK, FN+FA dan FN+FS. Tidak disebutkan frasa
adverba di dalam pola tersebut sebagai konstituen yang boleh membentuk ayat
dasar bahasa Melayu.
Kata adverba tidak dianggap sebagai
golongan kata utama bahasa Melayu kerana tidak boleh menjadi unsur inti kepada
konstituen frasa predikat. Kata ini hanya berfungsi sebagai keterangan. Oleh
hal yang demikian, tidak wujud frasa adverba (F Adv) sebagai frasa utama binaan
ayat bahasa Melayu. Frasa utama yang ada hanyalah FN, FK, FA dan FSN, dan semua
frasa ini dapat menjadi unsur inti kepada konstituen frasa predikat.
[1] Frasa preposisi
ialah frasa yang unsur pemulaannya ialah kata depan atau preposisi, dalam
struktur preposisi + x, dengan syarat
x boleh mewakili mana-mana golongan kata atau subgolongannya (Asmah Haji Omar,
1993:311).
[2] Frasa benda
ialah kata, frasa atau klausa yang menganggotai golongan benda (Asmah Haji
Omar, 1993:355). Frasa benda boleh mewakili kata, frasa atau klausa nama, kata
atau frasa bilangan dan kata ganti nama (Asmah Haji Omar, 1993:355).
[3] Frasa sifat
ialah frasa yang intinya merupakan kata sifat (Asmah Haji Omar, 1993:298).