Pada 31hb Mac 2009 hingga 3hb April 2009 yang lalu, kami guru pelatih dari 4 kelas iaitu Pengajian Melayu 1, Pengajian Melayu 2, Pengajian Cina dan Pra Sekolah telah mengikuti Program Bina Insan Guru (BIG) di Pangkor Village Beach Resort, Pulau Pangkor.
Selasa - 31 Mac 2009
Kami bertolak dari IPGM Kampus Ipoh pada hari Selasa pukul 8.30 pagi. Sebelum bertolak, kami mendengar kata-kata semangat dari Timbalan Pengarah seterusnya upacara penyerahan bendera Institut dari beliau kepada ketua peserta program. Perjalanan kami ke jeti Lumut mengambil masa lebih kurang 2 jam. Di dalam perjalanan, berlaku beberapa halangan yang tidak kami jangka iaitu tayar bas kami meletup dan perjalanan kami tergendala buat seketika. Lebih kurang sejam masa di ambil untuk membaiki tayar bas tersebut mengakibatkan kami lewat untuk sampai ke jeti pada waktu yang ditetapkan. Walaupun begitu, masih terdapat feri lain yang menunggu kami untuk membawa ke Pulau Pangkor. Setelah tiba di sana, bagi peserta lelaki terpaksa memasang khemah sendiri manakala peserta wanita menggunakan khemah yang telah disediakan. Pada malamnya, kami memulakan aktiviti pertama bagi program ini iaitu Latihan Dalam Kumpulan 1 (LDK) yang dikendalikan oleh Encik Azmi. Selesai LDK, kami diberi kata laluan pada malam itu sebagai langkah keselamatan sebelum kami tidur.
Rabu – 1 April 2009
Kami bangun tidur pada pukul 5 pagi dan bersiap untuk solat Subuh secara berjemaah dan tazkirah Subuh. Selesai tazkirah, aktiviti seterusnya pada pagi itu ialah aktiviti menaikkan bendera dan “Malaysia Cergas”. Para peserta berlari menyusuri pantai sebelum memulakan LDK 2 pada pukul 8.30 pagi. LDK 2 dikendalikan oleh tutor yang membincangkan tentang mengenal diri dan rakan-rakan. Kami berhenti rehat untuk makan tengah hari dan bersiap untuk aktiviti air pada pukul 2.30 petang. Dalam aktiviti air, begitu banyak pengalaman baru dan menarik yang dapat saya ambil. Antaranya pengalaman bekerjasama dengan rakan-rakan untuk menyiapkan rakit, berakit bersama-sama, demo menyelamatkan mangsa lemas, dan berenang dari tengah laut menuju ke pantai. Setelah penat berenang ke tepi pantai, kami berjemaah menunaikan solat jamaa’ dan qasar di tepi pantai. Ia merupakan satu pengalaman yang sangat berharga. Pada malamnya,kami teruskan dengan aktiviti LDK tetapi dalam proses membincangkan tentang persembahan yang akan dibuat pada malam kebudayaan. Tepat pada pukul 11 malam, kami berkumpul semula untuk diberi kata laluan pada malam itu dan terus tidur.
Khamis – 2 April 2009
Kami bangun seperti biasa pada pagi itu. Tepat pada pukul 5 pagi, kami bersiap-siap untuk solat Subuh secara berjemaah kemudian tazkirah oleh pensyarah JAPIM. Selesai solat, kami teruskan dengan aktiviti menaikkan bendera dan Malaysia Cergas. Selesai aktiviti Malaysia Cergas, kami sarapan pagi untuk mendapatkan tenaga bagi aktiviti seterusnya iaitu aktiviti kembara. Dalam aktiviti ini, kami memanjat bukit yang tinggi dan curam. Sangat mencabar bagi para peserta yang menyukainya. Dalam aktiviti itu, kami dapat melihat pelbagai keunikan flora dan fauna. Selain itu, pensyarah juga ada mengajar bagaimana untuk menentukan arah kiblat. Aktiviti tersebut berakhir sehingga petang. Petang itu, kami bersama-sama membakar ikan, ayam, sotong dan lain-lain makanan laut untuk sama-sama menikmatinya pada malam nanti. Pada malamnya, terdapat malam kebudayaan yang dipersembahkan oleh para peserta dari setiap unit. Sambil menikmati juadah yang enak-enak, peserta dan pensyarah juga bolehlah menikmati persembahan yang disediakan. Selesai persembahan dan mengemas tempat makan, kami berkumpul lagi untuk untuk kali terakhir pada malam itu bagi mendapatkan kata laluan. Kemudian kami tidur seperti biasa.
Jumaat – 3 April 2009
Seperti biasa, kami bangun untuk solat Subuh dan mendengar tazkirah. Pada pagi itu, kami menurunkan bendera dan mengemaskan khemah. Selesai mengemaskan khemah, kami sarapan pagi untuk mengambil tenaga bagi aktiviti gotong-royong. Sebelum gotong-royong, ada upacara penutup yang disempurnakan oleh En Sallehudin dari unit HEP. Acara penyerahan hadiah juga diadakan pada waktu itu bagi persembahan malam kebudayaan terbaik, pengurusan masakan, aktiviti air dan kembara. Kemudian, selesai upacara penutup kami bersama-sama gotong-royong mengemaskan kawasan Pangkor Village Beach Resort. Tepat pada pukul 10.30 pagi, kami bertolah ke Jeti Pangkor untuk pulang ke Institut Perguruan Ipoh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan